Pernah suatu ketika dahulu, seorang pengguna
myJodoh berada di dalam dilema dalam membuat satu keputusan besar
tentang masa depannya. Beliau pernah berkasih-kasihan dengan seorang
jejaka (jejaka A) yang juga seorang pengguna laman web ini. Kasih mereka
berdua tiba-tiba menghadapi situasi salah faham dan berakhir dengan
kekecewaan.
Si gadis lalu membawa diri dan mencari kasih baru. Beliau bertemu dengan seorang jejaka baru di myJodoh (jejaka B) lalu berkenalan, bercinta, bertunang dan merancang saat perkahwinan.
Ketika itulah baru si gadis mula sedar segala
konflik yang berlaku di antara jejaka A dan dirinya hanyalah berpunca
daripada salah faham. Masing-masing mempunyai salah. Masing-masing
memohon maaf. Namun bagi si gadis, beliau tidak lagi boleh berbuat
apa-apa kerana dirinya telah menjadi tunangan orang.
Di dalam hatinya terdetik niat untuk memutuskan
pertunangan dengan jejaka B, tetapi apakah salah jejaka B. Jejaka B baik
dan telah menunjukkan kesungguhan. Semuanya ibarat kisah cinta di dalam
novel-novel yang sering menjadi santapan minda di waktu kesunyian.
Tidak beliau sangka situasi rekaan itu menjadi kenyataan di dalam
dirinya. Cintanya sebenar pada jejaka A.
Apabila ditanya ibu bapa, mereka menyarankan agar
meneruskan sahaja dengan jejaka B. Apabila ditanya diri sendiri, beliau
ingin memutuskan sahaja. Hati beliau kini telah beralih semula kepada
jejaka A. Jika tidak kerana agama dan adat, sudah tentu beliau
melakukan apa sahaja yang terlintas di hati.
Apabila beliau meminta nasihat saya, saya juga
menjadi buntu, tetapi saya mencadangkan beliau untuk berikstikharah di
tengah malam sunyi.
Pada pagi hari itu, beliau ternanti-nanti petunjuk tuhan, menanti sesuatu untuk berlaku, menanti bisikan suara hati.
“Tak ada apa pun,” kata beliau kepada saya.
“Sabarlah dan buat lagi malam nanti.” Saya menyuruhnya mengulangi istikharahnya.
Di pagi kedua, beliau masih ternanti-nanti.
Penantian membawa ke tengahari. Di tengahari beliau masih kebingungan.
Kebingungan yang membawa hingga ke petang.
Inisiatif dan kesungguhan beliau memohon petunjuk
Ilahi akhirnya mendatangkan ketenangan buat dirinya sendiri. Semua
saat-saat memaksa diri untuk melawan kantuk itu berbaloi.
Hanya pada petang itu, barulah kebuntuannya hilang.
Beliau mendapat pengakuan daripada jejaka B sendiri, sebenarnya jejaka B
sudah berkeluarga.
Ini adalah sebuah kisah kehebatan istikharah..
0 komentar:
Posting Komentar